Tuesday, 28 April 2015

Entri 3: Pembelajaran Secara Bersemuka atau Dalam Talian?



Pembelajaran mod BERSEMUKA dan mod MAYA



Gambar hiasan

Pembelajaran telah  bermula semenjak seseorang itu dilahirkan. Pembelajaran yang asas yang dilalui oleh setiap individu setelah dilahirkan seperti menangis kerana sakit, belajar meniarap, belajar berjalan, belajar bagaimana cara menaiki sebuah basikal dan seterusnya pembelajaran setelah masuk ke alam persekolahan. Definisi pembelajaran menurut Robert M Gagne (1970), pembelajaran adalah perubahan atau kemampuan seseorang yang dapat dikekalkan tetapi tidak disebabkan oleh pertumbuhan. Perubahan yang dipanggil pembelajaran diperlihatkan melalui perubahan tingkah laku; dengan membandingkan tingkah laku seseorang individu sebelum didedahkan kepada situasi pembelajaran dengan tingkah lakunya selepas didedahkan dengan situasi pembelajaran. Morgan dan King (1975), pula mengatakan pembelajaran ditakrifkan sebagai sebarang perubahan tingkah laku yang agak kekal akibat pengalaman yang diperolehi oleh seseorang atau akibat latihan yang dijalaninya. Pembelajaran adalah proses di mana pengalaman menyebabkan perubahan dalam pengetahuan dan tingkah laku yang kekal (Anita E. Woolfolk, 1995).

Daripada huraian yang diberikan oleh ahli-ahli psikologi pendidikan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa walaupun pengertian pembelajaran yang diberikan berbeza antara satu sama lain, terdapat juga persamaan di antara huraian ini. Kesemua definisi ini memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku seseorang sebagai ukuran berlakunya pembelajaran. Apakah kaedah atau cara penyampaian pembelajaran?


Pada zaman kepesatan teknologi masa kini, banyak institusi pendidikan yang telah menginovasikan kaedah penyampaian pembelajaran kepada para pelajar, antara cara pembelajaran yang disampaikan adalah melalui pembelajaran secara ‘face-to-face’ dan secara ‘online’ atau juga dikenali sebagai pembelajaran secara bersemuka dan pembelajaran secara atas talian. Pembelajaran pelbagai teknik ini membolehkan seseorang individu memilih kaedah yang sesuai dalam menuntut ilmu.


Pembelajaran secara bersemuka adalah pembelajaran  yang disampaikan di antara penyampai kepada penerima. Kuliah atau syarahan yang disampaikan ini kebiasaannya berlaku di dalam kelas atau di luar kelas. Pembelajaran ini berlaku secara langsung, yakni syarahan yang disampaikan oleh guru atau penyampai kepada murid atau penerima adalah secara bersemuka. Kaedah pembelajaran secara tradisional ini lebih berkesan berbanding secara maya. Ini disebabkan oleh tenaga pengajar dapat menyampaikan maklumat tanpa kekangan dan mereka dapat mengenal pasti jika terdapat pelajar yang lemah serta dapat memberikan perhatian yang lebih kepada pelajar berkenaan. Sehubungan dengan itu, para pelajar juga dapat berkomunikasi secara dua hala dengan guru mereka melalui sesi soal jawab secara langsung jika terdapat sebarang pertanyaan atau ingin menyuarakan pendapat. Selain itu, pembelajaran tradisional ini dapat menjalinkan hubungan antara seorang guru dengan para pelajar. Hubungan ini lebih akrab berbanding pembelajaran yang disampaikan secara maya.


Seterusnya, pembelajaran secara maya atau atas talian yang kini hebat diperkatakan dan diprakktikan dalam institusi pendidikan telah berjaya mengambil tempat di institusi-institusi pendidikan di Malaysia mahupun di negara lain. Ledakan teknologi masa kini telah menginovasikan teknik atau kaedah pembelajaran tradisional kepada atas talian. Kaedah pembelajaran atas talian lebih fleksibel iaitu pembelajaran dapat disampaikan tidak kira masa, tempat dan keadaan. Pendekatan ini menggunakan teknologi digital terkini untuk memberi peluang dan kebebasan kepada orang ramai terutamanya pensyarah dan pelajar, tidak kira di mana mereka berada. Faktor peluang dan kebebasan ini amat berharga kepada mereka yang ingin memperbaiki kemampuan diri dalam memastikan masa depan yang lebih bermakna. Tetapi kekangan kepada pendekatan pembelajaran ini mungkin akan berlaku masalah teknikal semasa pembelajaran sedang dijalankan. Kaedah pengajaran guru yang baik dan kaedah pembelajaran pelajar yang sesuai dapat menambahkan keberkesanan pembelajaran secara maya. Dengan itu guru boleh merancang dengan lebih sempurna untuk melaksanakan pengajarannya supaya lebih berkesan.



Secara kesimpulannya, pembelajaran boleh disampaikan menggunakan pelbagai kaedah seperti secara bersemuka dan atas talian, apa yang penting adalah ilmu yang hendak atau bakal disampaikan dapat memberi pengetahuan yang bermanfaat kepada para pelajar untuk masa hadapan kelak. Dari aspek keberkesanan dalam pembelajaran pula, ianya hanya bergantung kepada sejauh mana usaha seseorang itu dalam menyampaikan serta menimba ilmu.

Friday, 24 April 2015

Entri 2: Kemahiran

KEMAHIRAN INSANIAH


Gambar hiasan

Kemahiran insaniah merangkumi aspek-aspek kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan. Kemahiran insaniah adalah antara yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan pada masa kini yang bersifat global serta pesat dengan perubahan teknologi. Kemahiran insaniah perlulah dimiliki oleh setiap individu. Bagi individu yang bergelar pelajar perlu memastikan bahawa diri mereka mempunyai atau menguasai kemahiran ini. Menguasai kemahiran insaniah adalah bertujuan memastikan diri mereka dapat bersaing secara sihat apabila memasuki alam pekerjaan kelak. Kemahiran insaniah terdiri daripada tujuh (7) elemen, antaranya seperti kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, kemahiran etika dan moral professional dan kemahiran kepimpinan.


Sebagai pelajar, kemahiran insaniah perlu dikuasai oleh saya. Kemahiran seperti berkomunikasi, berfikiran kritis, menguruskan maklumat, menjalankan kerja secara berpasukan dan kemahiran insaniah yang lain sering saya aplikasikan dalam alam pembelajaran. Kemahiran seperti ini penting bagi memastikan diri saya dapat melakukan tugasan harian sebagai seorang pelajar dapat dilaksanakan dengan baik. Sebagai contoh kemahiran yang ada dalam diri saya sebagai pelajar jurusan pemasaran adalah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran berkomunikasi penting dalam menyampaikan maklumat, maklumat yang disampaikan mungkin secara lisan dan bukan lisan. Kemahiran ini bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat. Para pensyarah banyak membantu dalam meningkatkan kemahiran komunikasi para pelajar dengan memberi tugasan seperti melakukan pembentangan mengenai tugasan yang diberi. Selain itu, kemahiran insaniah yang saya kuasai seperti kemahiran kerja berpasukan. Sebagai pelajar, saya perlu kuasai kemahiran ini kerana kemahiran kerja dalam berpasukan penting dalam menyiapkan apa-apa tugasan yang diberi oleh pensyarah terutama kerja yang melibatkan tugasan berkumpulan. Semua kemahiran ini amat berkait rapat bukan sahaja semasa dalam alam pembelajaran, tetapi dalam alam pekerjaan.


Dalam alam pekerjaan kemahiran-kemahiran ini sangat penting dalam menetukan kedudukan seseorang pekerja itu dalam organisasi yang akan dimasuki nanti. Alam pekerjaan yang mempunyai persaingan yang sengit memerlukan individu untuk bersaing dalam menempatkan diri mereka di organisasi yang diimpikan. Bukan mudah untuk terpilih jika mempunyai persaingan yang sengit. Jadi, kemahiran seperti ini dapat membezakan seseorang individu dengan individu yang lain. Bagi saya, dalam alam pekerjaan kemahiran seperti komunikasi merupakan antara kemahiran yang paling penting untuk siswazah kuasai. Hal ini kerana komunikasi penting untuk menyesuaikan diri seseorang individu dalam sesebuah organisasi. Tambahan pula, individu tersebut boleh menggunakan kemahiran komunikasi secara lisan dan bukan lisan. Kemahiran komunikasi melibatkan kemahiran yang lain seperti kemahiran mendengar dan memberi maklum balas, kemahiran menyampaikan idea secara lisan atau secara bertulis, kemahiran membuat pembentangan mengenai tugasan yang diamanahkan, kemahiran berbincang dan kemahiran dalam membuat sesuatu keputusan.



Kesimpulannya, kesemua kemahiran tersebut amat penting untuk diterapkan dalam setiap diri individu. Sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam alam pekerjaan yang bakal ditempuhi oleh saya kelak, saya perlu bijak untuk menyesuaikan diri melalui penerapan kemahiran insaniah dan kemahiran yang lain. Ini bertujuan membolehkan saya untuk bersaing dan seterusnya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik berikutan alam pekerjaan mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dengan alam pembelajaran.

Friday, 17 April 2015

Entri 1: Kerjaya atau Keluarga?

ANTARA KERJAYA dan KELUARGA


Gambar hiasan


KERJAYA dan KELUARGA adalah dua perkara yang berbeza dari segi perkataan, mahupun maksud. Apakah yang kita faham mengenai KERJAYA? Secara amnya, semua orang akan menganggap bahawa kerjaya itu adalah sebuah pekerjaan seperti doktor, cikgu, polis dan sebagainya. Menurut Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, KERJAYA bermaksud perjalanan atau kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan kehidupan atau sebagai profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai mencari nafkah.


Bagaimana pula dengan KELUARGA? Secara logiknya, keluarga adalah ahli dalam susur galur seseorang yakni mempunyai moyang, datuk, nenek, ayah, emak, abang, kakak, dan adik. KELUARGA bermaksud menurut Depker RI (1998), keluarga merupakan unit terkecil dari masyarakat yang terdiri daripada ketua keluarga dan beberapa ahli keluarga yang lain serta tinggal di dalam satu bumbung dan saling bergantungan antara satu dengan yang lain. Helvie (1981), pula mengatakan, keluarga merupakan sekelompok manusia yang tinggal dalam satu rumah tangga serta mempunyai hubungan yang konsisten dan erat. KELUARGA juga didefinisikan sebagai anggota rumah tangga yang saling berhubungan melalui adaptasi pertalian darah atau perkahwinan (Who, 1969).


KERJAYA dan KELUARGA tidak dapat dipisahkan dari seseorang yang bergelar individu. Ini disebabkan oleh, setiap individu mempunyai impian untuk memiliki KERJAYA yang berjaya dan KELUARGA yang bahagia. KELUARGA merupakan orang penting yang perlu ada di dalam hidup seseorang. Namun, tidak semua individu bertuah untuk memiliki sebuah KELUARGA. Ada dalam kalangan kita yang dilahirkan tanpa kehadiran ibu dan bapa walaupun masih di usia yang terlalu muda untuk mengerti mengenai kehidupan dan amat memerlukan kedua-dua insan ini di dalam hidup mereka.


KERJAYA yang dimiliki oleh seseorang individu perlulah diseimbangkan dengan membahagikan masa bersama KELUARGA di samping KERJAYA. Mereka perlu mengatur masa di antara KERJAYA dan KELUARGA secara adil dan saksama. Mengehadkan masa bekerja adalah cara yang boleh diaplikasikan dengan melakukan tugasan di tempat bekerja secara penuh disiplin dan bersungguh-sungguh. Ini dapat mengelakkan kerja yang dilakukan dibawa pulang ke rumah untuk disiapkan. Mereka perlu bijak dalam membezakan rumah dan pejabat. Rumah adalah tempat mereka untuk meluangkan masa bersama ahli KELUARGA setelah penat seharian bekerja dalam mencari nafkah buat mereka. Mereka juga boleh mengatur percutian bersama ahli KELUARGA bagi meluangkan masa dan pada masa yang sama dapat merehatkan diri serta minda dari terus memikirkan mengenai KERJAYA.



Secara kesimpulannya, KERJAYA dan KELUARGA ini perlu dititikberatkan dalam setiap diri individu. KERJAYA dan KELUARGA tidak dapat dipisahkan, ini kerana untuk seseorang yang mempunyai KERJAYA yang berjaya akan ada sebuah KELUARGA di belakang mereka. KELUARGAlah yang akan sentiasa berada di samping kita semasa pahit atau manis dalam kita mencipta corak kehidupan demi mengejar cita-cita. Di dalam dunia yang fana, tidak semua orang dapat memiliki kedua-dua KERJAYA dan KELUARGA. Jadi bersyukurlah bagi mereka yang memiliki KERJAYA dan KELUARGA walaupun tidak sempurna sebagaimana yang digambarkan di coretan-coretan sana. Pilihlah seberapa banyak KERJAYA di luar sana asalkan tidak melebihi kepentingan nilai kasih sayang terhadap sebuah KELUARGA. Nilai sebuah KELUARGA tidak dapat dicari ganti atau dipilih sebagaimana sebuah KERJAYA. Namun, kita sebagai manusia perlulah bijak dalam menentukan KERJAYA dan bijak mengatur serta mengimbangi antara KERJAYA dan KELUARGA. Kedua-duanya perlulah seiring bagi memastikan kepuasan dan kualiti hidup dapat dicapai.