ANTARA KERJAYA
dan KELUARGA
Gambar hiasan
KERJAYA dan KELUARGA
adalah dua perkara yang berbeza dari segi perkataan, mahupun maksud. Apakah
yang kita faham mengenai KERJAYA? Secara amnya, semua orang akan menganggap bahawa
kerjaya itu adalah sebuah pekerjaan seperti doktor, cikgu, polis dan sebagainya.
Menurut Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, KERJAYA bermaksud perjalanan atau
kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan kehidupan atau sebagai profesion atau
pekerjaan yang dipilih sebagai mencari nafkah.
Bagaimana pula dengan
KELUARGA? Secara logiknya, keluarga adalah ahli dalam susur galur seseorang yakni
mempunyai moyang, datuk, nenek, ayah, emak, abang, kakak, dan adik. KELUARGA
bermaksud menurut Depker RI (1998), keluarga merupakan unit terkecil dari masyarakat
yang terdiri daripada ketua keluarga dan beberapa ahli keluarga yang lain serta
tinggal di dalam satu bumbung dan saling bergantungan antara satu dengan yang
lain. Helvie (1981), pula mengatakan, keluarga merupakan sekelompok manusia yang
tinggal dalam satu rumah tangga serta mempunyai hubungan yang konsisten dan erat.
KELUARGA juga didefinisikan sebagai anggota rumah tangga yang saling berhubungan
melalui adaptasi pertalian darah atau perkahwinan (Who, 1969).
KERJAYA dan KELUARGA
tidak dapat dipisahkan dari seseorang yang bergelar individu. Ini disebabkan oleh,
setiap individu mempunyai impian untuk memiliki KERJAYA yang berjaya dan KELUARGA
yang bahagia. KELUARGA merupakan orang penting yang perlu ada di dalam hidup seseorang.
Namun, tidak semua individu bertuah untuk memiliki sebuah KELUARGA. Ada dalam kalangan
kita yang dilahirkan tanpa kehadiran ibu dan bapa walaupun masih di usia yang
terlalu muda untuk mengerti mengenai kehidupan dan amat memerlukan kedua-dua insan
ini di dalam hidup mereka.
KERJAYA yang dimiliki oleh
seseorang individu perlulah diseimbangkan dengan membahagikan masa bersama
KELUARGA di samping KERJAYA. Mereka perlu mengatur masa di antara KERJAYA dan
KELUARGA secara adil dan saksama. Mengehadkan masa bekerja adalah cara yang
boleh diaplikasikan dengan melakukan tugasan di tempat bekerja secara penuh disiplin
dan bersungguh-sungguh. Ini dapat mengelakkan kerja yang dilakukan dibawa pulang
ke rumah untuk disiapkan. Mereka perlu bijak dalam membezakan rumah dan pejabat.
Rumah adalah tempat mereka untuk meluangkan masa bersama ahli KELUARGA setelah penat
seharian bekerja dalam mencari nafkah buat mereka. Mereka juga boleh mengatur percutian
bersama ahli KELUARGA bagi meluangkan masa dan pada masa yang sama dapat merehatkan
diri serta minda dari terus memikirkan mengenai KERJAYA.
Secara kesimpulannya,
KERJAYA dan KELUARGA ini perlu dititikberatkan dalam setiap diri individu.
KERJAYA dan KELUARGA tidak dapat dipisahkan, ini kerana untuk seseorang yang
mempunyai KERJAYA yang berjaya akan ada sebuah KELUARGA di belakang mereka.
KELUARGAlah yang akan sentiasa berada di samping kita semasa pahit atau manis dalam
kita mencipta corak kehidupan demi mengejar cita-cita. Di dalam dunia yang fana,
tidak semua orang dapat memiliki kedua-dua KERJAYA dan KELUARGA. Jadi bersyukurlah
bagi mereka yang memiliki KERJAYA dan KELUARGA walaupun tidak sempurna sebagaimana
yang digambarkan di coretan-coretan sana. Pilihlah seberapa banyak KERJAYA di
luar sana asalkan tidak melebihi kepentingan nilai kasih sayang terhadap sebuah
KELUARGA. Nilai sebuah KELUARGA tidak dapat dicari ganti atau dipilih sebagaimana
sebuah KERJAYA. Namun, kita sebagai manusia perlulah bijak dalam menentukan
KERJAYA dan bijak mengatur serta mengimbangi antara KERJAYA dan KELUARGA. Kedua-duanya
perlulah seiring bagi memastikan kepuasan dan kualiti hidup dapat dicapai.
No comments:
Post a Comment