Tuesday, 28 April 2015

Entri 3: Pembelajaran Secara Bersemuka atau Dalam Talian?



Pembelajaran mod BERSEMUKA dan mod MAYA



Gambar hiasan

Pembelajaran telah  bermula semenjak seseorang itu dilahirkan. Pembelajaran yang asas yang dilalui oleh setiap individu setelah dilahirkan seperti menangis kerana sakit, belajar meniarap, belajar berjalan, belajar bagaimana cara menaiki sebuah basikal dan seterusnya pembelajaran setelah masuk ke alam persekolahan. Definisi pembelajaran menurut Robert M Gagne (1970), pembelajaran adalah perubahan atau kemampuan seseorang yang dapat dikekalkan tetapi tidak disebabkan oleh pertumbuhan. Perubahan yang dipanggil pembelajaran diperlihatkan melalui perubahan tingkah laku; dengan membandingkan tingkah laku seseorang individu sebelum didedahkan kepada situasi pembelajaran dengan tingkah lakunya selepas didedahkan dengan situasi pembelajaran. Morgan dan King (1975), pula mengatakan pembelajaran ditakrifkan sebagai sebarang perubahan tingkah laku yang agak kekal akibat pengalaman yang diperolehi oleh seseorang atau akibat latihan yang dijalaninya. Pembelajaran adalah proses di mana pengalaman menyebabkan perubahan dalam pengetahuan dan tingkah laku yang kekal (Anita E. Woolfolk, 1995).

Daripada huraian yang diberikan oleh ahli-ahli psikologi pendidikan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa walaupun pengertian pembelajaran yang diberikan berbeza antara satu sama lain, terdapat juga persamaan di antara huraian ini. Kesemua definisi ini memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku seseorang sebagai ukuran berlakunya pembelajaran. Apakah kaedah atau cara penyampaian pembelajaran?


Pada zaman kepesatan teknologi masa kini, banyak institusi pendidikan yang telah menginovasikan kaedah penyampaian pembelajaran kepada para pelajar, antara cara pembelajaran yang disampaikan adalah melalui pembelajaran secara ‘face-to-face’ dan secara ‘online’ atau juga dikenali sebagai pembelajaran secara bersemuka dan pembelajaran secara atas talian. Pembelajaran pelbagai teknik ini membolehkan seseorang individu memilih kaedah yang sesuai dalam menuntut ilmu.


Pembelajaran secara bersemuka adalah pembelajaran  yang disampaikan di antara penyampai kepada penerima. Kuliah atau syarahan yang disampaikan ini kebiasaannya berlaku di dalam kelas atau di luar kelas. Pembelajaran ini berlaku secara langsung, yakni syarahan yang disampaikan oleh guru atau penyampai kepada murid atau penerima adalah secara bersemuka. Kaedah pembelajaran secara tradisional ini lebih berkesan berbanding secara maya. Ini disebabkan oleh tenaga pengajar dapat menyampaikan maklumat tanpa kekangan dan mereka dapat mengenal pasti jika terdapat pelajar yang lemah serta dapat memberikan perhatian yang lebih kepada pelajar berkenaan. Sehubungan dengan itu, para pelajar juga dapat berkomunikasi secara dua hala dengan guru mereka melalui sesi soal jawab secara langsung jika terdapat sebarang pertanyaan atau ingin menyuarakan pendapat. Selain itu, pembelajaran tradisional ini dapat menjalinkan hubungan antara seorang guru dengan para pelajar. Hubungan ini lebih akrab berbanding pembelajaran yang disampaikan secara maya.


Seterusnya, pembelajaran secara maya atau atas talian yang kini hebat diperkatakan dan diprakktikan dalam institusi pendidikan telah berjaya mengambil tempat di institusi-institusi pendidikan di Malaysia mahupun di negara lain. Ledakan teknologi masa kini telah menginovasikan teknik atau kaedah pembelajaran tradisional kepada atas talian. Kaedah pembelajaran atas talian lebih fleksibel iaitu pembelajaran dapat disampaikan tidak kira masa, tempat dan keadaan. Pendekatan ini menggunakan teknologi digital terkini untuk memberi peluang dan kebebasan kepada orang ramai terutamanya pensyarah dan pelajar, tidak kira di mana mereka berada. Faktor peluang dan kebebasan ini amat berharga kepada mereka yang ingin memperbaiki kemampuan diri dalam memastikan masa depan yang lebih bermakna. Tetapi kekangan kepada pendekatan pembelajaran ini mungkin akan berlaku masalah teknikal semasa pembelajaran sedang dijalankan. Kaedah pengajaran guru yang baik dan kaedah pembelajaran pelajar yang sesuai dapat menambahkan keberkesanan pembelajaran secara maya. Dengan itu guru boleh merancang dengan lebih sempurna untuk melaksanakan pengajarannya supaya lebih berkesan.



Secara kesimpulannya, pembelajaran boleh disampaikan menggunakan pelbagai kaedah seperti secara bersemuka dan atas talian, apa yang penting adalah ilmu yang hendak atau bakal disampaikan dapat memberi pengetahuan yang bermanfaat kepada para pelajar untuk masa hadapan kelak. Dari aspek keberkesanan dalam pembelajaran pula, ianya hanya bergantung kepada sejauh mana usaha seseorang itu dalam menyampaikan serta menimba ilmu.

No comments:

Post a Comment