Friday, 24 April 2015

Entri 2: Kemahiran

KEMAHIRAN INSANIAH


Gambar hiasan

Kemahiran insaniah merangkumi aspek-aspek kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan. Kemahiran insaniah adalah antara yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan pada masa kini yang bersifat global serta pesat dengan perubahan teknologi. Kemahiran insaniah perlulah dimiliki oleh setiap individu. Bagi individu yang bergelar pelajar perlu memastikan bahawa diri mereka mempunyai atau menguasai kemahiran ini. Menguasai kemahiran insaniah adalah bertujuan memastikan diri mereka dapat bersaing secara sihat apabila memasuki alam pekerjaan kelak. Kemahiran insaniah terdiri daripada tujuh (7) elemen, antaranya seperti kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, kemahiran etika dan moral professional dan kemahiran kepimpinan.


Sebagai pelajar, kemahiran insaniah perlu dikuasai oleh saya. Kemahiran seperti berkomunikasi, berfikiran kritis, menguruskan maklumat, menjalankan kerja secara berpasukan dan kemahiran insaniah yang lain sering saya aplikasikan dalam alam pembelajaran. Kemahiran seperti ini penting bagi memastikan diri saya dapat melakukan tugasan harian sebagai seorang pelajar dapat dilaksanakan dengan baik. Sebagai contoh kemahiran yang ada dalam diri saya sebagai pelajar jurusan pemasaran adalah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran berkomunikasi penting dalam menyampaikan maklumat, maklumat yang disampaikan mungkin secara lisan dan bukan lisan. Kemahiran ini bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat. Para pensyarah banyak membantu dalam meningkatkan kemahiran komunikasi para pelajar dengan memberi tugasan seperti melakukan pembentangan mengenai tugasan yang diberi. Selain itu, kemahiran insaniah yang saya kuasai seperti kemahiran kerja berpasukan. Sebagai pelajar, saya perlu kuasai kemahiran ini kerana kemahiran kerja dalam berpasukan penting dalam menyiapkan apa-apa tugasan yang diberi oleh pensyarah terutama kerja yang melibatkan tugasan berkumpulan. Semua kemahiran ini amat berkait rapat bukan sahaja semasa dalam alam pembelajaran, tetapi dalam alam pekerjaan.


Dalam alam pekerjaan kemahiran-kemahiran ini sangat penting dalam menetukan kedudukan seseorang pekerja itu dalam organisasi yang akan dimasuki nanti. Alam pekerjaan yang mempunyai persaingan yang sengit memerlukan individu untuk bersaing dalam menempatkan diri mereka di organisasi yang diimpikan. Bukan mudah untuk terpilih jika mempunyai persaingan yang sengit. Jadi, kemahiran seperti ini dapat membezakan seseorang individu dengan individu yang lain. Bagi saya, dalam alam pekerjaan kemahiran seperti komunikasi merupakan antara kemahiran yang paling penting untuk siswazah kuasai. Hal ini kerana komunikasi penting untuk menyesuaikan diri seseorang individu dalam sesebuah organisasi. Tambahan pula, individu tersebut boleh menggunakan kemahiran komunikasi secara lisan dan bukan lisan. Kemahiran komunikasi melibatkan kemahiran yang lain seperti kemahiran mendengar dan memberi maklum balas, kemahiran menyampaikan idea secara lisan atau secara bertulis, kemahiran membuat pembentangan mengenai tugasan yang diamanahkan, kemahiran berbincang dan kemahiran dalam membuat sesuatu keputusan.



Kesimpulannya, kesemua kemahiran tersebut amat penting untuk diterapkan dalam setiap diri individu. Sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam alam pekerjaan yang bakal ditempuhi oleh saya kelak, saya perlu bijak untuk menyesuaikan diri melalui penerapan kemahiran insaniah dan kemahiran yang lain. Ini bertujuan membolehkan saya untuk bersaing dan seterusnya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik berikutan alam pekerjaan mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dengan alam pembelajaran.

No comments:

Post a Comment