Saturday, 23 May 2015

Entri 8: Anak Buah

SI COMEL MUHAMMAD MUADZ

Hari ini aku ingin bercerita mengenai rinduku kepada Muhammad Muadz. Sesiapa yang pernah membaca entri sebelum ini pasti sudah mengenali siapakah dia Muhammad Muadz itu. Baiklah, kepada yang baru sahaja mahu membaca entri ini, marilah aku perkenalkan dengan Muhammad Muadz. Muhammad Muadz adalah anak buahku yang pertama anak kepada kakak dan abang iparku.


Hm..hati ini terasa rindu sangat ingin pulang ke rumah untuk berjumpa dengan Muhammad Muadz. Yela, sudah tiga minggu aku di Sintok, manalah rasa rindu ini tidak hadir. Lebih-lebih lagi kakakku dan juga ibuku kerap kali bercerita mengenai Muhammad Muadz. Kata mereka Muhammad Muadz sudah pandai ketawa dan mahu bercakap, tetapi biasalah cakapan bayi tidak boleh difahami kita. Aku dapat merasakan tingkah laku Muhammad Muadz sangat comel dan menghiburkan hati.


Cara penyelesaian untuk rindu aku ini adalah dengan membebankan kakakku supaya menghantar gambar anaknya kepadaku setiap hari. Dengan cara ini masih belum tentu berkesan untuk menghilangkan rindu yang tersimpan dalam sanubariku ini tau.  Sampai kakakku pun sudah komplen bahawa memori telefonnya penuh.



Sabarlah wahai hati, hanya berbaki tiga minggu sahaja untuk aku menghabiskan sisa-sisa hidupku sebagai pelajar di bumi Sintok yang indah ini. Tetapi sebelum itu, aku haruslah menempuhi liku-liku kehidupan sebagai pelajar dengan menyiapkan tugasan dan juga menghadapi peperiksaan akhir sebelum keluar dari sini. Semoga semuanya berjalan lancar dan aku dipermudahkan untuk menjawab peperiksaan itu nanti.

Friday, 22 May 2015

Entri 7: Universiti Utara Malaysia

UUM: DESTINASI ILMU DAN EKOPELANCONGAN

Entri pada kali ini aku ingin bercerita mengenai keindahan tempat belajarku. Tetapi, sebelum itu aku mahu perkenalkan sedikit latar belakang mengenai diri aku. Aku merupakan seorang mahasiswi di Universiti Utara Malaysia atau dikenali sebagai UUM. Lokasi UUM terletak jauh dari tempat asalku iaitu jauh di utara, sedangkan aku berasal dari Negeri Melaka. Perjalanan dari Melaka ke UUM mengambil masa lebih kurang tujuh hingga ke lapan jam jika aku menaiki bas. Aku berada di UUM kerana aku sedang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang Pemasaran. Nama kos aku Bachelors of Marketing (Honors). Tempoh pengajian aku di sini selama tiga tahun setengah. Sekarang aku akan mula bercerita mengenai UUM.


Universiti Utara Malaysia terletak jauh sedikit dari bandar seperti Jitra dan Alor Star, tetapi ini bukan bermakna UUM ini tidak maju dari segi pembangunan. Mula-mula kaki melangkah masuk ke UUM aku terpegun dengan pembangunan di Universiti ini. Yela, sepanjang perjalanan sebelum masuk ke UUM aku hanya nampak beberapa buah bangunan dan yang selebihnya hanyalah pokok-pokok. Itu kisah tiga tahun lepas. Sekarang banyak pembangunan yang telah dibina. 


Aku bersyukur dapat belajar di UUM walaupun lokasinya jauh dari kampung halaman aku. Ini kerana kawasan UUM yang diliputi dengan kehijauan pokok-pokok dapat memberi kesegaran pada minda dan pandangan aku setelah penat menghadiri kuliah. Selain itu, Kawasan UUM ini sangat luas dan UUM merupakan antara universiti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan jika mahu dibandingkan dengan Universiti di tempat lain. Antara kemudahan yang tersedia seperti Varsity Mall, di sini terdapat kedai-kedai pakaian, kedai buku, cenderamata, kafe, dan juga Bank Islam serta Bank Simpanan Nasional (BSN). Tetapi  Varsity Mall bukanlah seperti Mall besar di luar sana, cukuplah untuk pelajar UUM ini mahu membeli barang dan kemudahan yang asas.


Selain itu, UUM mempunyai pusat sukan dimana di dalamnya terdapat pelbagai kemudahan seperti stadium, kolam renang, padang bola, tempat sauna, gym dan pelbagai lagi. Kemudahan ini boleh digunakan oleh pelajar UUM secara percuma. UUM juga mempunyai litar Go Kart, jika pelajar mahu bermain Go Kart, hanya dikenakan sebanyak RM5 sahaja. Seterusnya UUM mempunyai padang memanah, ekuin, padang golf, taman rusa, taman burung unta, tasik dan banyak lagi. Kesemua kemudahan ini boleh digunakan oleh pelajar UUM dan juga orang luar. Ada juga pihak dari luar yang membuat pelbagai aktiviti di UUM dengan menggunakan kemudahan yang tersedia.  


Terdapat pelbagai kemudahan lain seperti UUM mempunyai klinik kesihatan yang dinamakan Pusat Kesihatan UUM atau PKU. Klinik kesihatan ini terletak berhadapan dengan Dewan Mu’adzam Shah (DMAS) atau boleh dikatakan dewan ini sebagai ikon kepada UUM. Di samping kemudahan yang terdsedia, UUM yang dikenali sebagai Universiti Pengurusan ini mempunyai 15 Dewan Penginapan Pelajar atu dikanali sebagai DPP. Kesemua DPP ini telah dinamakan mengikut syarikat, institusi dan organisasi terkenal di Malaysia yang turut sama menyumbang ke arah pembangunan universiti ini dan dinamakan pula mengikut penajaan DPP masing-masing iaitu DPP Mas, Tenaga Nasional Berhad, Tradewinds, Petronas, Eon, MISC, Sime Darby, BSN, TM, Proton, Maybank, Yayasan Albukhary, Bank Muamalat, Bank Rakyat dan SME Bank.  



UUM juga turut menyediakan kemudahan penginapan yang selesa untuk mereka yang berkunjung ke sini atau tetamu yang hadir ke kampus ini iaitu di University Inn dan juga EDC Hotel. Sekian sahaja entri pada kali ini mengenai daya tarikan UUM sebagai institusi pendidikan dan juga ekopelancongan. 


Peta ke UUM
Universiti di Rimba Hijau



Dewan Mu’adzam Shah (DMAS)


Kolam Renang

Litar Go-Kart


Tuesday, 19 May 2015

Entri 6: Pantun

MARI MEMBINA PANTUN

BENGKEL PANTUN
13 MAC 2015
(8.30 PAGI- 5.00 PETANG)

Pantun di bawah adalah hasil karya diriku semasa menjalani bengkel pantun pada tempoh hari. Para peserta perlu membina pantun dengan tema yang diberi

1. KASIH SAYANG
Burung terbang nun di awan,
Membawa bersama pergi khayalan,
Duduk di sini berteman kawan,
Rindu dihati tidak tertahan.

2. BUDI
Tingginya ego engkau si lelaki,
Menyiksa isteri jiwa dan raga,
Lupakah engkau budi si isteri,
Melahirkan zuriat bertarung nyawa.

3. NASIHAT
Nenek tua jalan bertongkat,
Pergi ke pasar seorang diri,
Wahai si dara mestilah beringat,
Hendaklah dijaga maruah diri.

4. PUJI IBU
Kecil-kecil tubuh badannya,
Petah berbicara mengubat luka,
Ibuku comel sahaja orangnya,
Sentiasa membuat aku gembira.

5. PERKENALKAN DIRI
Nor Syahidah nama diriku,
Datang ke mari menimba ilmu,
Negeri Melaka asal tempatku,
Itulah dia latar diriku.




Saturday, 16 May 2015

Entri 5: Karangan Kreatif

TEMA: SEBUAH KELAHIRAN

LOKASI: RUMAH



Gambar hiasan

Pada 5/4/2015 aku dikhabarkan dengan berita yang gembira. Yakni, kakakku telah  selamat melahirkan cahaya matanya yang pertama. Ini bermakna aku telah mendapat anak buah yang pertama. Alhamdulillah aku panjatkan kesyukuran kepada Mu-Ya Allah kerana selamat semuanya. Sebelum ini, aku hanya diceritakan pengalaman mempunyai anak buah oleh teman-temanku sahaja.


Aku merupakan seorang mahasiswi di Universiti Utara Malaysia (UUM). Aku kini berada di semester enam. Semester yang terakhir aku berada di UUM jika diizinkan oleh-Nya. Tidak lama lagi akan ada cuti pertengahan semester. Aku berasa tidak sabar untuk menanti tarikh tersebut. Hari demi hari berlalu, kini tibalah hari yang aku nantikan untuk pulang ke rumah. Rumahku terletak di Negeri Melaka. Sepanjang berada di UUM aku akan menelefon ke rumah bagi bertanyakan khabar anak buahku yang pertama. Semasa berada di dalam bas masih lagi sempat aku menelefon ke rumah bagi menanyakan tentang anak buahku.


Setiba aku di rumah dan bersalaman dengan semua, aku terus melulu pergi ke arah anak buahku. Sungguh comel paras rupanya. Kini, pengalaman mempunyai anak buah dapat dirasai oleh diriku sendiri. Aku dapat merasai sebagaimana teman-temanku yang lain. Sepanjang keberadaan aku di rumah. Aku cuba membantu Emak dan Kakaku seperti menjaga anak buahku yang diberikan nama Muhammad Muadz yang bermaksud yang Terpuji Dilindungi. Aku menguruskan anak buahku, menemani kakakku pergi ke klinik, membersihkan diri Muhammad Muadz.


Beberapa hari lagi tibalah masa untuk aku pulang ke Utara bagi meneruskan pengajianku di sana. Aku pasti akan merindui tugas rutinku dalam beberapa hari ini sebagai penjaga Muhammad Muadz dan turut merindui dirimu Muhammad Muadz. Jadi anak yang soleh buat Ibu dan Abahmu. Mak Lang doakan Muhammad Muadz akan diberi kesihatan yang sihat.


Friday, 1 May 2015

Entri 4: Graduan

Apakah persediaan supaya graduan tidak menganggur?



Sumber: Google image


Statistik menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia semakin meningkat, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (2014), menunjukkan seramai 216,048 orang (56%) Grdaduan Universiti menganggur daripada 385,800 penganggur di Malaysia. Kadar pengangguran semakin hari kian meningkat disebabkan oleh graduan semakin bertambah saban tahun.


Graduan harus bijak mengatur langkah kehidupan masing-masing untuk menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan. Para graduan perlu melakukan persediaan supaya tidak menganggur selepas tamat pembelajaran. Para graduan boleh mula menghantar resume untuk memohon tempat pekerjaan. Mereka boleh mencari pekerjaan bagi mendapatkan pengalaman. Hal ini kerana, pengalaman adalah sukar diperolehi jika tiada usaha dalam mencari pekerjaan, Sesebuah organisasi tidak mudah untuk memberi peluang pekerjaan kepada individu yang tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pekerjaan terutamanya graduan yang masih baru. Ini salah satu cara syarikat pada masa kini dalam membuat pemilihan pekerja bagi memastikan pekerja yang bakal dipilih benar-benar berkualiti bukan sahaja dari aspek pengetahuan tetapi dari aspek “softskill” dan “hardskill”.


Selain itu, para graduan tidak seharusnya terlalu bersikap memilih dalam mencari pekerjaan. Ini adalah untuk kebaikan diri graduan itu sendiri dan sikap seperti ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan ke atas diri mereka sendiri melainkan merugikan kerana tidak memperolehi pendapatan serta pengalaman. Para graduan kebanyakkannya memilih pekerjaan berasaskan tahap pencapaian dan jurusan mereka sahaja. Jika mereka diberi tawaran pekerjaan yang tidak berkaitan dengan mereka, mereka lebih memilih untuk melepaskan peluang tersebut.


Langkah seterusnya, para graduan harus menitikberatkan kemahiran dalam nilai tambah diri mereka seperti kemahiran komunikasi, menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan dan sebagainya. Kemahiran ini amat penting untuk diterapkan dalam setiap diri individu. Sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam alam pekerjaan yang bakal ditempuhi kelak, mereka perlu bijak untuk menyesuaikan diri melalui penerapan kemahiran insaniah dan kemahiran yang lain. Ini bertujuan membolehkan diri para graduan untuk bersaing dan seterusnya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik berikutan alam pekerjaan mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dengan alam pembelajaran.



Kesimpulannya, graduan haruslah berfikiran terbuka dan bijak dalam menangani masalah ini agar tidak mengalami masalah pengangguran. Bak kata pepatah “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang- senang kemudian,”  dan satu lagi pepatah, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan  dan nak seribu daya tak nak seribu dalih.” Maka, tiada sebarang alasan untuk para graduan memilih untuk menganggur. Hal ini kerana jika usaha tidak disertakan dalam pencarian sesebuah pekerjaan sudah tentu mereka tidak akan perolehi sebarang kejayaan.