Friday, 22 May 2015

Entri 7: Universiti Utara Malaysia

UUM: DESTINASI ILMU DAN EKOPELANCONGAN

Entri pada kali ini aku ingin bercerita mengenai keindahan tempat belajarku. Tetapi, sebelum itu aku mahu perkenalkan sedikit latar belakang mengenai diri aku. Aku merupakan seorang mahasiswi di Universiti Utara Malaysia atau dikenali sebagai UUM. Lokasi UUM terletak jauh dari tempat asalku iaitu jauh di utara, sedangkan aku berasal dari Negeri Melaka. Perjalanan dari Melaka ke UUM mengambil masa lebih kurang tujuh hingga ke lapan jam jika aku menaiki bas. Aku berada di UUM kerana aku sedang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang Pemasaran. Nama kos aku Bachelors of Marketing (Honors). Tempoh pengajian aku di sini selama tiga tahun setengah. Sekarang aku akan mula bercerita mengenai UUM.


Universiti Utara Malaysia terletak jauh sedikit dari bandar seperti Jitra dan Alor Star, tetapi ini bukan bermakna UUM ini tidak maju dari segi pembangunan. Mula-mula kaki melangkah masuk ke UUM aku terpegun dengan pembangunan di Universiti ini. Yela, sepanjang perjalanan sebelum masuk ke UUM aku hanya nampak beberapa buah bangunan dan yang selebihnya hanyalah pokok-pokok. Itu kisah tiga tahun lepas. Sekarang banyak pembangunan yang telah dibina. 


Aku bersyukur dapat belajar di UUM walaupun lokasinya jauh dari kampung halaman aku. Ini kerana kawasan UUM yang diliputi dengan kehijauan pokok-pokok dapat memberi kesegaran pada minda dan pandangan aku setelah penat menghadiri kuliah. Selain itu, Kawasan UUM ini sangat luas dan UUM merupakan antara universiti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan jika mahu dibandingkan dengan Universiti di tempat lain. Antara kemudahan yang tersedia seperti Varsity Mall, di sini terdapat kedai-kedai pakaian, kedai buku, cenderamata, kafe, dan juga Bank Islam serta Bank Simpanan Nasional (BSN). Tetapi  Varsity Mall bukanlah seperti Mall besar di luar sana, cukuplah untuk pelajar UUM ini mahu membeli barang dan kemudahan yang asas.


Selain itu, UUM mempunyai pusat sukan dimana di dalamnya terdapat pelbagai kemudahan seperti stadium, kolam renang, padang bola, tempat sauna, gym dan pelbagai lagi. Kemudahan ini boleh digunakan oleh pelajar UUM secara percuma. UUM juga mempunyai litar Go Kart, jika pelajar mahu bermain Go Kart, hanya dikenakan sebanyak RM5 sahaja. Seterusnya UUM mempunyai padang memanah, ekuin, padang golf, taman rusa, taman burung unta, tasik dan banyak lagi. Kesemua kemudahan ini boleh digunakan oleh pelajar UUM dan juga orang luar. Ada juga pihak dari luar yang membuat pelbagai aktiviti di UUM dengan menggunakan kemudahan yang tersedia.  


Terdapat pelbagai kemudahan lain seperti UUM mempunyai klinik kesihatan yang dinamakan Pusat Kesihatan UUM atau PKU. Klinik kesihatan ini terletak berhadapan dengan Dewan Mu’adzam Shah (DMAS) atau boleh dikatakan dewan ini sebagai ikon kepada UUM. Di samping kemudahan yang terdsedia, UUM yang dikenali sebagai Universiti Pengurusan ini mempunyai 15 Dewan Penginapan Pelajar atu dikanali sebagai DPP. Kesemua DPP ini telah dinamakan mengikut syarikat, institusi dan organisasi terkenal di Malaysia yang turut sama menyumbang ke arah pembangunan universiti ini dan dinamakan pula mengikut penajaan DPP masing-masing iaitu DPP Mas, Tenaga Nasional Berhad, Tradewinds, Petronas, Eon, MISC, Sime Darby, BSN, TM, Proton, Maybank, Yayasan Albukhary, Bank Muamalat, Bank Rakyat dan SME Bank.  



UUM juga turut menyediakan kemudahan penginapan yang selesa untuk mereka yang berkunjung ke sini atau tetamu yang hadir ke kampus ini iaitu di University Inn dan juga EDC Hotel. Sekian sahaja entri pada kali ini mengenai daya tarikan UUM sebagai institusi pendidikan dan juga ekopelancongan. 


Peta ke UUM
Universiti di Rimba Hijau



Dewan Mu’adzam Shah (DMAS)


Kolam Renang

Litar Go-Kart


No comments:

Post a Comment